Tazkirah untuk parti yang menguasai...

Sudah hampir 20 bulan parti-parti yang bertanding memegang kuasa setelah dipilih dan menang  dengan majoriti walaupun tidak sampai dua pertiga. Hasrat rakyat dan kuasanya kali ini betul-betul digeruni oleh para politikus tempatan. Umumnya semua telah mempercayai bahawa inilah hakikat yang harus ditelan dalam sebuah negara demokrasi. Bagi para pengundi pula terutamanya yang tidak berparti atau yang tersimpan perasaan benci kepada pemimpin tertentu atau parti sendiri agak tergamam kerana tidak menduga keputusannya menjadi begini. Walaubagaimanapun ia adalah sebuah manifestasi yang menjadi realiti apabila kita masing-masing berkuasa untuk menentukan satu undi.

Syabas untuk mereka golongan yang berjaya mengekalkan kuasa harus menginsafi atau bermuhasabah terutamanya dalam setiap urusan rasmi agar tidak terjerumus dalam kekhilafan mencari untung sendiri, menjaga kroni secara membuta tuli dan terlalu menurut hawa nafsu yang terbukti rugi. Para pengundi kini sudah tidak lagi menjadi pendengar sahaja malah ramai yang sudah rajin berfikir dan mengkaji  sebelum memangkah undi lebih-lebih lagi dunia siber kini luas dan mudah seperti sebuah permaidani di halaman sendiri. Para pimpinan parti kali ini perlu lebih berhati-hati dan berhenti dengan tabiat yang dibenci jika masih mahu mengekalkan jumlah undi. Mereka kini perlu memberi bukti yang hakiki atau melihatkan keazaman untuk berubah jika tersalah kerana rakyat sekarang lebih berani mengubah dari memberi undi kepada mereka yang dirasakan bersalah.

Tahniah pula untuk mereka yang mula mendapat kuasa agar pengalaman baru yang hendak ditempa menjadi madu manisan untuk semua rasa dan jatuh cinta. Sayang jika undi yang diberi menjadi sia-sia jika terlalu megah dengan kuasa atau masih belum berjaya menjadikan kuasa yang ada sebagai manisan dan gula-gula agar pengundi tidak mudah lupa atau meluahkannya semula. Setiap gerak-geri dan langkah tari perlu sentiasa berhati-hati kerana pentas baru yang diperolehi mungkin banyak ditinggalkan periuk api atau masih belum dicuci kerana mereka yang anda kalahkan menunggu peluang untuk menumbangkan kaki yang menari. Rentak haruslah mengikut runut bunyi atau komposernya haruslah terdiri dari orang sendiri dan bukan tikus di dalam peti yang hanya menggunakan gigi bila diwaktu sunyi.

Demokrasi sekali lagi telah didendangkan dengan segala tarian dan nyanyian yang mengikut melodi bunyi-bunyian para pengundi yang telah dewasa dengan fikiran inginkan mereka yang benar-benar bersih menjadi kerajaan. Mereka sudah tidak lagi melihat keupayaan atau kebolehan kerana semua itu bukanlah menjadi ukuran kerana ia boleh ditimba atau diajarkan melalui pengalaman. Perasaan benci yang bersemi dan bosan yang menjadi beban mereka perlu di hapuskan. Kekuatan tangan untuk memberi satu undian bukan lagi datang dari suapan atau habuan tetapi sebenarnya telah dipupuk dari hasil buah fikiran. Kumpulan yang menang jadi arang jika masih lagi senang - lenang dengan temberang dan yang kalah mungkin jadi abu jika terus tidak malu dengan perangai macam dulu-dulu.

Comments

Popular posts from this blog

Bersahsiah dan bersiasah

Publisitikan Wibawa Kerajaan Madani

Bimbang Kerajaan Tumbang, Angkara Kumbang Atau Mambang