Bersahsiah dan bersiasah

Dengan NAMA ALLAH YANG MAHA BESAR LAGI MAHA MENGETAHUI.

"Katakanlah: "Ya Allah yang Maha Memiliki kerajaan, Engkau memberikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki, Engkau mencabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki, Engkau memuliakan orang yang Engkau kehendaki dan merendahkan orang yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Mu lah segala kebaikan, sesungguhnya Engkau adalah Maha Kuasa atas segala sesuatu. Engkau masukkan malam ke dalam siang dan Engkau masukkan siang ke dalam malam, Engkau keluarkan yang hidup dari yang mati dan Engkau keluarkan yang mati dari yang hidup dan Engkau memberikan rezeki kepada orang yang Engkau kehendaki tanpa ada perhitungannya. “Ali Imraan: 26-27.

Setiap masyarakat mesti ada pemimpin yang mempunyai barisan pimpinannya begitu juga dalam sesebuah rumahtangga. Setiap ketua akan bertindak dan bersikap secara umumnya dipersetujui oleh barisan kabinet serta rakyatnya sebagaimana seorang bapa mentadbir ahli keluarganya.

Apakah maksud sahsiah? ia bermakna peribadi atau personaliti. Ia merujuk kepada traits yang mencirikan peribadi orang berkenaan. Peribadi menggambarkan sifat personaliti individu yang membezakannya daripada orang lain. Sifat sahsiah merangkumi gaya hidup, kepercayaan, harapan, nilai, motif, pemikiran, perasaan, budi pekerti, persepsi, tabiat, sikap dan watak seseorang.

Pentingnya sahsiah yang mulia dalam bersiasah (berpolitik) kerana ia akan memberi kesan yang menyeluruh kepada segenap lapisan masyarakat. Apabila seseorang pemimpin dan barisan kepimpinannya bertindak dalam merealisasikan idealisma dalam mencorakkan pemerintahan mereka perlulah diwarnai dengan nilai-nilai sahsiah yang murni. Hasil yang dapat diraih atau dituai akan lebih baik dan berkualiti daripada impak melalui keperibadian yang tinggi daripada arahan-arahan yang diberi. Namun kualitinya adalah amat bergantung kepada golongan-golongan pelaksana sebagai lapisan finishing dalam proses merealisasikannya.

Kita sekian lama bermain dalam soal siasah yang sering membelakangi sahsiah yang baik berdekad lamanya. Bagi ahli politik yang berkuasa dan berharta mereka akan mengajar rakyat atau penyokong mereka boleh meminta-minta apabila setiap acara atau agenda yang ingin dilakukan. Maka akan timbul masalah mencari dana yang tidak kira dari mana apatah lagi ia dilakukan dengan label 'matlamat menghalalkan cara'. Begitu juga bagi ahli politik yang sering mengajar atau menggalakkan para pengikutnya bersikap ganas, gangsterisme dan bersikap kasar menyalahi norma-norma masyarakat timur apatah lagi yang digariskan oleh Islam dan cara orang yang beragama.

Oleh itu, betapa pentingnya sahsiah yang murni bagi tujuan menjalankan apa sahaja idea dalam bersiasah kerana akhirnya ia akan memberi kesan dalam skala sama ada terbaik hingga sebaliknya. Sememangnya ahli politik akan bergantung kepada kumpulan pelaksana terutamanya pegawai kerajaan dan NGO namun apa saja tindakannya adalah sepatutnya dapat dikawal oleh ahli politik kerana mereka punya kuasa dan menganggotai dewan-dewan mulia (Parlimen / DUN) bagi meluluskan sebarang undang-undang demi kepentingan negara amnya.

Comments

Popular posts from this blog

Publisitikan Wibawa Kerajaan Madani

Bimbang Kerajaan Tumbang, Angkara Kumbang Atau Mambang