Politik dengan profesional dan bermaruah
Saban hari kita disajikan dengan gelagat-gelagat mereka yang berparti ini baik menteri atau wakil rakyat yang kadang-kadang memualkan. Walaupun kita baru hampir 60 tahun menggenggam demokrasi namun ia bukanlah alasan untuk berperangai seperti labi-labi bila malu sorokkan diri bila lawan biar sampai mati walau isunya hanya secebis roti atau terus menyondol membuta tuli.
Ahli politik negara ini perlulah menunjukkan contoh kepada ramai pengikut mereka yang kebanyakan menyokong membuta tuli. Jika kita berjaya menunjukkan contoh kepada pengikut-pengikut maka pengamal demokrasi di negara ini akan mempunyai mentaliti yang tinggi. Bila pilihanraya jajalah isu kesana sini, sabotajlah jika ada ruang diberi, berkempenlah untuk menambat hati atau gunalah apa-apa kaedah bagi meraih undi.
Kini bila masing-masing menang kerusi namun masih lagi berkelahi sesama sendiri semacam tidak mahu menerima kekalahan yang terbukti. Dendam yang membara digunakan untuk cuba menjatuh dan menolak lawan dari kerusi. Bila masing-masing sudah memenangi kerusi, sepatutnya amanah ini perlu dijaga dengan penuh berhati-hati agar pengundi sentiasa dihati bukan masih mahu berkelahi sesama sendiri kerana yang rugi bukan mereka sahaja tetapi seluruh negara sekali.
Comments
Post a Comment