Aduhai pembangkang berhentilah berbulan madu
Setelah kemenangan yang agak besar diperoleh pada pilihanraya yang lalu, pakatan rakyat sepatutnya lebih matang dalam menghadapi situasi-situasi dan serangan media prokerajaan yang sengaja menggoncang atau cuba menconteng arang. Para pimpinannya juga harus lebih tenang dan perlu tunjukkan kemampuan agar lebih ramai rakyat akan tidak segan silu memberi sokongan sekali lagi pada pilihanraya akan datang.
Sebenarnya pakatan rakyat menang bukan disebabkan keahlian bertambah dan memperoleh undi dari penyokong setia namun sebenarnya ia lebih kepada rasa bosan pengundi dari luar parti atau ahli sendiri kepada barisan nasional. Jika pakatan pembangkang tidak lagi menoleh kebelakang dan tidak berusaha untuk menunjukkan sikap yang matang maka nasib tidak lagi akan menyebelahi untuk memenangi hati pengundi. Mereka harus bekerja dengan kreatif untuk mencapai apa yang menjadi janji serta berusaha menawarkan kepada rakyat apa yang boleh menyebabkan rakyat yakin kepada mereka untuk dipilih sekali lagi. Sikap yang terlalu melayan media propaganda barisan nasional juga boleh menjadi bisa yang boleh meracuni atau melukai jika terus dilayan dengan tabiat mahukan populariti yang boleh disalah erti oleh para pengundi. Jadikan kuasa yang diperolehi baru-baru ini sebagai bukti kepada rakyat yang undian mereka benar-benar boleh dijadikan alternatif sebagai parti yang memerintah negara.
Para penyokong pula seharusnya tidak terlalu fanatik dan ego dengan kemenangan kerana bukan semua undi yang diperolehi dari orang-orang yang memahami perjuangan. Cuba dilihat di Selangor apabila para penyokong PAS terlalu teruja untuk mengetatkan atau mengawal penjualan arak yang boleh disensitifkan kerana tidak berpandangan jauh. Mereka perlu melihat kemenangan mereka bukannya majoriti dan Selangor sebenarnya sebuah negeri yang mempunyai pelbagai jenis ideologi, pendidikan serta agama pengundi. Jika di Kedah pun mereka (penyokong PAS) tidak terlalu fanatik untuk bertindak sebegitu. Jangan kerana baru mendapat baju sudah mahu dijahit sesuka hati dan takut nanti hilang minat pembeli.
Kemenangan yang berpihak kepada pakatan juga sebenarnya adalah hasil dari muafakat dan kerjasama oleh ahli-ahli tiga parti yang sememangnya begitu jelas sekali tidak selari namun demi matlamat menumpaskan barisan nasional mereka sanggup memberi undi kepada parti-parti ini. Jika dilihat sikap pengundi barisan yang betul-betul mahu meninggalkan parti sebenarnya agak sukar namun mereka sesekali akan memberi undi kepada parti lawan kerana sakit hati. Begitu juga para pengundi muda dan yang tidak berparti mereka ini akan memberi undi dengan dipengaruhi oleh beberapa isu-isu yang mereka sendiri ikut bersetuju dan menjadikan barisan nasional parti yang mereka benci. Krisis kepimpinan Abdullah Badawi dan menantunya Khairi juga banyak memberi bonus undi kepada pakatan rakyat.
Setelah melalui hampir 20 bulan masa orientasi sepatutnya pakatan rakyat telah boleh duduk dalam sebuah parti yang meyakinkan pengundi. Mewujudkan media-media negeri sendiri untuk sebaran maklumat para pengundi selain dari mula menyemai benih-benih janji agar bunganya kembang mekar berbuah sebelum para pengundi mengubah hati. Memang terlalu awal untuk menilai prestasi namun apabila setahun telah berlalu tetapi sikap berkelahi balas-membalas mencaci harus dihenti seperti Kerajaan Kedah yang sunyi tapi berisi. Berhati-hatilah dengan senjata rasmi (blog) yang sesekali seperti mahu tertembak sendiri.
Dalam menempuh hari-hari yang mendatang pakatan rakyat sebenarnya perlu lebih berusaha keras seperti sebulan sebelum hari mengundi kerana lawan mereka adalah gergasi yang terlalu banyak 'kaki' untuk digunakan sebagai senjata memangkah atau membuli jika ada saja peluang diberi. Beberapa krisis kepimpinan yang terjadi sebenarnya pelajaran dan peperiksaan yang harus dihadapi sebelum benar-benar dapat menjadi kerajaan besar menumbangkan gergasi. Tempoh menyesuaikan diri sebenarnya telah tamat dan prestasi yang perlu dibuktikan sekarang sedang ditunggu-tunggu oleh pengundi terutamanya pengundi yang tidak berparti yang berkuasa menentukan kemenangan walaupun dengan beza satu undi.
Comments
Post a Comment