Politik Era Baharu Kerajaan Baharu
Terdetik untuk saya meluahkan tentang polemik di persada ruang
maya berkenaan dengan kisah dan babak-babak yang terjadi setelah lebih
dua bulan, majoriti Rakyat Malaysia berani menukar kerajaan yang menjadi
pemerintah dari zaman berzaman.
Kerajaan yang
baharu sahaja ditubuhkan kali ini adalah kerajaan yang bersifat campuran
hasil permuafakatan dan persepakatan dari lima parti yang empat
daripadanya dari semenanjung. Mereka semua berjaya mengenepikan semua
perbezaan demi mewujudkan satu gabungan kuat membentuk majoriti bagi
menguasai kerajaan baharu yang dikenali Pakatan Harapan (PH).
Ia
adalah tunas baharu dari pohon-pohon lama yang dahannya selalu patah
akibat proses pereputan pohon besar yang menjadi puaka selama ini yang
menguasai lembah buana semenanjung dan sebahagian borneo di kepulauan
nusantara ini. Umumnya kita akan fahami bahawa setiap tunas yang baharu
mahu mengeluarkan daun untuk proses fotosintesisnya akan terdedah dengan
pelbagai risiko yang akan membantutkan tumbesarannya.
Selain
faktor persekitaran dan cuaca yang akan menjadi gangguan kepadanya,
faktor musuh dan makhluk perosak juga tidak dapat dinafikan kerana
setiap pertumbuhan dan pemangkin kejayaan adalah proses pembelajaran
dalam mengatasi setiap cabaran. Maka tidak hairanlah bagi sebuah tunas
yang baharu mahu menjalani pertumbuhan dengan seribu satu kepayahan yang
menanti dihadapannya.
Apabila pokok raksasa biru
tua itu tumbang menyembah bumi maka lembah ini secara langsung menjadi
tanah lapang yang tidak lagi dilindungi oleh sinaran mentari, arus
tiupan angin serta unggas serangga yang bebas berterbangan disana sini.
Ini semua adalah hukum alam yang pasti namun tunas yang terus tumbuh
akan disokong oleh akar yang kuat dan teguh mencari zat dan ubat bagi
menghadapi segala akibat. Tunas baharu memerlukan kulit yang keras dan
liat dalam menghadapi gigitan serta gangguan yang akan dikawal oleh
getah-getahnya sebagai penampan yang hebat.
Dengan
doa dan harapan sokongan serta dokongan mereka yang berjaya menumbangkan
pohon lama bagi memastikan tunas ini tumbuh membesar menjadi pohon
baharu yang akan memberi manfaat kepada semua penghuni tanah semenanjung
serta kepulauan borneo nusantara tercinta ini.

Comments
Post a Comment