DRAMA POLITIK KEMBALI SEGAR SEMULA
Setelah berakhirnya penggal ke-13 yang menjadi yang terakhir dalam sejarah Malaysia dengan tamatnya penguasaan Parti Barisan Nasional yang telah memerintah selama hampir 61 tahun. Tiada siapa menduga dan ramai yang terkejut dengan kebolehan satu pakatan parti yang baharu dan pembangkang yang sekian lama bertanding dapat menewaskannya. Parti-parti pembangkang yang selama hampir dua dekad bertanding dengan pelbagai gabungan bermula dengan era Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan kemudiannya membentuk Pakatan Harapan akhirnya dapat melobi rakyat dengan sokongan majoriti membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu Kerajaan Pakatan Harapan.
Nadi rakyat pada penghujung berakhirnya penggal ke-13 telah membuat keputusan untuk menumbangkan parti yang sekian lama menjadi kerajaan. Momentum ini menyebabkan para politikus terkedu kerana mendapat kekalahan serta terkejut dengan berita kemenangan. Bagi pihak yang menang mereka tidak menyangka kuasa rakyat memenangkan mereka begitu juga pihak yang kalah tidak terduga akan kekalahan mereka. Semuanya adalah hasil daripada keluh-kesah rakyat yang tidak lagi mahu mengundi mereka (Barisan Nasional) dan bertekad mahukan satu perubahan sehingga menumbangkan pemerintahan yang sekian lama.
Peristiwa ini sebenarnya jika dipandang secara menelusuri sejarah 20 tahun iklim politik Malaysia ialah kerana semata-mata dua sosok tokoh hebat era 90an bergabung pengaruhnya. Mereka ialah Tun Mahathir dan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang memecahkan tembok perseteruan mereka selama ini dengan membina satu gabungan baharu. Dalam pakatan ini semua parti serpihan Melayu iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Pribumi Bersatu Malaysia(PPBM) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) telah mencipta sejarah menjadikan gabungan parti-parti pembangkang yang pertama menewaskan parti pemerintah.
Semua pihak tidak boleh menafikan kehebatan dan kekuatan pengaruh dua orang tokoh ini yang memulakan drama politik panjang bermula seawal tahun 1998 sehingga pada tahun 2018 mereka kembali menjadi regu utama. Pada awal tahun 1990 sebelum itu mereka ialah regu yang paling ampuh berwibawa menjadi orang nombor satu dan dua dalam kerajaan persekutuan sehinggalah babak drama lapan tahun selepasnya. Ini kerana kedua-duanya adalah tokoh gerakan yang mendapat sokongan majoriti rakyat bukan sahaja dikalangan orang Melayu malah oleh hampir semua kaum di Malaysia.
Sekarang masanya babak-babak drama politik kembali disegarkan semula dengan usaha pembaharuan dan reformasi secara menyeluruh mula kedengaran dalam mencorakkan Malaysia baharu yang telah dirosakkan oleh dua orang Perdana Menteri selepas mereka bermula pada awal tahun 2004 dan 2009. Dalam dua dekad tersebut dapat dilihat suasana politik di Malaysia tidak begitu berdrama kerana tokoh-tokoh yang memegang tampuk kekuasaan tidak banyak melakukan perubahan dengan hanya mendendangkan slogan dan tarian yang diwarisi sekian lama. Mereka hanyalah penyambung dan pemain rentak lama dengan strategi yang telah usang menjadi budaya politik mereka iaitu memberikan 'gula-gula' tanpa menyedari 'penyakit kronik' boleh datang menjadi wabak ditanggung sehingga dua dekad lamanya.
Comments
Post a Comment