Negara Tan Tin Tun 1
Betapa lama hikayat ini mahu ditulis sebelum berangan dan berfantasi seberapa purnama mengkaji cerita dan menyusun kisah suka duka sebuah negara kaya yang dikenali sebagai Negara Tan Tin Tun. Cerita ini sepatutnya dinukilkan dalam bentuk cerita pendek (Cerpen) atau cerita meleret (Novel) kerana ia bukan cereka tetapi kisah benar yang berlaku di negara tersebut.
Pada beribu tahun lampau ia hanyalah belukar dan berhutan tebal yang sering dilanda hujan dan ribut tropika. Penempatan awal hanya di kuala-kuala sungai dan persisiran pantai namun ada segelintir masyarakatnya menghuni di dalam hutan dan pinggiran gua batu kapur. Mereka ini menjalankan aktiviti penangkapan ikan, pemburuan binatang serta bercucuk tanam. Tiada aktiviti ekonomi yang besar seperti perdagangan dengan orang luar atau perlombongan bijih timah dan minyak mentah.
Apabila ekonomi masyarakatnya semakin besar, pastilah ada yang menjadi penaung (ketua) bagi menjaga keharmonian mereka dan pemimpin (ketua) sebagai individu yang bertanggungjawab terhadap keselamatan mereka sekeluarga. Seorang ketua mestilah dihormati kerana dia mempunyai kelebihan peribadi sama ada kekuatan fizikal, kelebihan material atau ilmu sakti yang amat ditakuti. Mereka mempunyai ramai pengikut (penghasut) dan pengadu domba (talibarut) yang sentiasa mengikut telunjuk atau dengan sifat lahiriah membodek dengan terlalu tinggi sehingga sanggup bunuh kawan sendiri asalkan habuannya dapat dikecapi.
Keadaan geopolitik agak sukar bila kelompok masyarakat masing-masing berkembang kerana semangat kewilayahannya (territorial) sehinggakan perkara remeh seperti seekor ayam dicuripun akan menjadi punca mereka berkelahi sesama sendiri menunjuk taring masing-masing dan menghunus taji. Apabila ketua yang berpengaruh semakin ramai dan pertembungan wilayah semakin menjadi-jadi akibat pertelingkahan orang bawahan telah menyebabkan suasana huru-hara yang menganggu keadaan. Bila wilayah menjadi negeri maka orang yang bergelar maharaja perlu ditabalkan agar kekuatan menjadi berganda dan empayar semakin banyak diperluaskan.
Namun itu semua hanya bertahan ratusan zaman sebelum dicemburui oleh beberapa golongan yang datang dari dunia asing akhirnya dipanggil Tuan. Mereka memegang (memujuk dan memaksa) golongan raja agar tidak melakukan apa-apa cukuplah dengan kemewahan yang mereka ada, kuasa difrancaiskan kepada mereka agar mudah melakukan apa sahaja dengan sewenang-wenangnya. Si tuan datang dari dunia yang maju setelah lama berada dalam zaman kegelapan sebelum ditawan dan dibebaskan oleh semangat kekhalifahan pewaris legasi pentadbiran yang dibawa oleh seorang Rasulullah. Dunia ibarat roda yang berputaran apabila kuasa empayar pemerintahan akan bertukar dari zaman ke zaman secara keras melalui peperangan.
Agenda si tuan amat berkesan dengan menanamkan pendidikan anak-anak aristokrat dengan nilai pemahaman yang bertopengkan mereka. Agama anutan hanya di lidah namun cara hidup mereka telah jauh melangkau pegangan namun mereka masih golongan kaya-raya yang menjadi belaan si tuan agar tidak mendatangkan kecederaan... bersambung
Comments
Post a Comment