Negara Tan Tin Tun 2
Bila generasi bangsawan diberi pendidikan dan ditanam dengan 'dogma' pemikiran yang condong dengan sistem kebaratan maka lebih mudah bagi penjajah menyusuri laluan. Tanpa bersusah payah untuk menapis tentangan walaupun masih ada segelintirnya yang mahu berlawan namun dengan senjata dan kuasa sedia ada amat mudah dipatahkan. Jika ada raja mahu melawan maka mereka akan hidup dalam buangan maka sesiapapun tidak mahu hilang takhta kerajaan walaupun kuasa di telunjuk si penjajah.
Zaman revolusi industri dan kemerdekaan ke arah pemerintahan demokrasi telah menjadi fenomena menjadikan sistem penjajahan barat (kolonial) semakin ketinggalan dan mendapat tentangan. Teori pemerintahan rakyat dan revolusinya merebak ke serata dunia atas nama kebebasan. Sistem khalifah berjaya dirobohkan seterusnya berpecahlah wilayah naungan menjadi tidak bertuan. Munculnya negara berteorikan Komunisme, Sosialisme dan Nasionalisme menjadikan pemikiran golongan pertengahan inginkan kemerdekaan dengan pelbagai rangka perlembagaan. Peperangan dunia tidak dapat dielakkan akibat dari pertelingkahan dan percanggahan oleh negara-negara yang telah moden serta maju mempunyai kuasa imperial bagi menunjuk kekuatan. Peristiwa ini telah membuka mata dan minda rakyat bawahan bahawa penjajah bukanlah kuat sehingga tidak boleh dikalahkan. Negara Matahari Terbit telah menunjukkan jalan bahawasanya penjajahan hanyalah kuasa kecil yang dapat dikalahkan melalui peperangan.
Pihak penjajah mula ditekan tambahan pula generasi bangsawan telah punya talian persahabatan dengan beberapa negarawan dari golongan penjajah. Muncul jalan mudah kerana golongan rakyat jelata telah bergabung dalam pelbagai persatuan dan kesatuan dan bersatu hati bagi menekan pihak penjajah. Pilihanraya diwujudkan bagi melakar peta pentadbiran ke arah mendemokrasikan kerajaan yang menuju kemerdekaan. Sistem pentadbiran yang diperkenalkan oleh penjajah ditolak mentah-mentah kerana ia bukan satu sistem yang bersesuaian. Bila semuanya bersatu dengan semangat kepartian yang jitu maka penjajah mula mengambil langkah bagi megelak sebarang peperangan dan pemberontakan secara besar-besaran. Mereka juga amat takut sekiranya pengaruh Komunisme dan Sosialisme menyusup masuk dan dijadikan teori pemerintahan.
Rundingan dan perjanjian dengan pihak penjajah dengan syarat-syarat yang semuanya perlu pasrah dan akur bagi merealisasikan impian kemerdekaan. Penjajah perlu memastikan hubungan dan pengaruh mereka dengan bekas tanah jajahan perlu dikekalkan kerana ekonomi mereka tidak tergugat disebabkan tuntutan kemerdekaan oleh negara naungan. Segala sistem, undang-undang dan pentadbiran haruslah mendapat pengiktirafan mereka agar setiap urusan hubungan dua hala nanti mudah dijalankan...bersambung
Comments
Post a Comment