Gula-gula untuk semua
Saban hari kita akan mendengar pelbagai peristiwa yang menjadi modal orang politik melepaskan propaganda bukan sahaja untuk 'ahli' mereka namun untuk semua terutamanya yang bersikap 'atas pagar. Semuanya bergantung kepada peristiwa bagi menentukan siapa menjadi penguasa pada penggal seterusnya.
Kita warganegara akan disajikan dengan 'buffet' hidangan buah dan bunga pemikiran parti-parti yang akan melobi untuk berkuasa pada fasa seterusnya. Pasang telinga, tajamkan mata serta cergaskan minda bagi menyimpulkan segala cerita dan cereka untuk mengetahui siapa mereka sebenarnya. Mereka punya idea, cara dan fahaman yang berbeza cuma objektif menang pada pilihanraya adalah sama.
Bila ada sebahagian daripada kita terlalu mudah berasa pening kepala untuk mengetahui kebenarannya terus mengalah dan menyimpulkan siapa yang memerintah akan melakukan perkara yang sama adalah terlalu mudah seperti melepaskan batuk di mana-mana. Sebenarnya bagi yang fanatik kepada satu kepartian mereka tidak mudah beralih sokongan. Namun generasi muda yang terhidang dengan pelbagai aliran pemikiran dengan saratnya maklumat dihujung jari membuatkan mereka terlalu berhati-hati sehinggakan ada yang 'malas' nak mengundi.
Fahamilah bahawa setiap kali pilihanraya adalah peluang untuk kita diberi kuasa memilih orang yang akan berkuasa dalam tempoh yang tidak lama namun berkesan untuk merubah lanskap hala tuju negara. Semua orang inginkan kemajuan namun corak pemerintahan bukat semua boleh bermuafakat tambahan pula dalam dunia media sosial yang melangkau sempadan ini semua orang boleh meluahkan rasa hati walaupun kadangkala komennya hanya menunjukkan rasa 'geli' sesetengah pihak namun itulah hakikat dunia kini yang berfungsi di 'kaca' tv dan komputer atau gajet peribadi.
Comments
Post a Comment