Bila takut hilang kuasa
Setelah dua tahun lebih angin perubahan melanda demokrasi di negara tercinta ini namun titik-titik keinsafan bagi yang kalah dan titik perubahan bagi yang menang agak muram dan kurang bersinar. Bermula dengan sedikit kekecohan apabila kehilangan kuasa dan mengambil alih kuasa adalah babak permulaan dalam penggal ini. Bagi pihak yang mampu menubuhkan kerajaan persekutuan, ia bagaikan satu kecederaan yang agak serius walaupun masih mampu mengekalkan kuasa majoriti. Pihak pembangkang pula telah merintis sejarah dengan kejayaan yang membanggakan.
Banyak peristiwa yang boleh dijadikan pengajaran dan bahan gurauan yang meniti di setiap bibir rakyat jelata. Kita boleh melihat siapa yang betul dan siapa yang salah jika kita rajin menoleh sejarah. Perubahan yang dijanjikan oleh pihak PR yang berjaya menguasai pada mulanya lima negeri namun kehilangan satu akibat sikap beberapa ADUN yang boleh di jual beli agak perlahan dan mungkin kerana kurang pengalaman menjadi kerajaan. Bagi pihak BN pula mereka seolah-olah tidak mahu berubah dan aku dengan kesilapan lalu yang sememangnya dibenci terutamanya oleh penyokong sendiri.
Pihak PR sebenarnya perlu menjana atau mewar-warkan setiap perubahan yang dilakukan kerana rakyat mahukan perbezaan diantara dua kumpulan ini. Mereka perlu cepat dan bijak menguruskan kerajaan negeri yang dikuasai agar sokongan rakyat yang diberikan bukan sekadar melepas geram tetapi kerana keyakinan atas kebolehan mentadbir yang baik dan berevolusi. Bagi BN yang telah mendapat kecederaan pula haruslah berubat atau mencari apa saja formula bukan dengan menutup pekung yang bernanah sehingga bau yang busuk akhirnya dihidu juga. Mereka perlu menelan apa saja yang pahit bagi membuktikan mereka telah melakukan perubahan yang dimahukan oleh rakyat. Namun mereka mugkin menghadapi kesukaran kerana telah terlalu lama dicengkam oleh beberapa golongan yang sememangnya hanya inginkan keuntungan semata-mata.
Sekarang telah menjadi satu medan mencari kesilapan dengan berbalas ejekan yang sepatutnya perlu digunakan untuk menjana apa saja perubahan oleh kedua-dua kumpulan. Padamlah idea lapuk yang sering menyalakan api perkauman atau semangat kebangsaan yang sudah tidak relevan lagi pada masakini. Rakyat pada hari ini adalah satu generasi yang mudah mencari informasi yang hanya di hujung jari.
Comments
Post a Comment