Bimbang Kerajaan Tumbang, Angkara Kumbang Atau Mambang
Penggal lalu adalah permainan politik paling tidak seimbang angkara percaturan beberapa ketua gerombolan menyebabkan lahirnya gelaran mantan Perdana Menteri bertambah sehingga empat orang.
Bermula dari tumbangnya gerombolan parti yang telah menjadi penyandang dalam tempoh beberapa dekad, perebutan dan peralihan kuasa serta tampuk pemerintahan negara bertukar ganti.
Bermula dengan seorang mantan kembali memegang jawatan selama 22 bulan kemudian digantikan dengan seorang yang hanya mampu memegang pula selama 17 bulan seterusnya yang terakhir selama 15 bulan sebelum pembubaran penggalnya.
Kini penggal baharu yang berakhir dengan keputusan tiada satu pun gerombolan yang berjaya menjadi pihak penyandang. Gabungan dari beberapa gerombolan perlu disepadukan bagi membolehkan mereka menjadi kerajaan dan mendapat tampuk kekuasaan bagi mengetuai kerajaan yang akan menjalankan Urusan Seri Paduka Baginda.
Setelah Lima bulan berlalu Maka bermulalah episod yang membimbangkan dengan sindrom penggal lalu iaitu jumlah sokongan berkurangan mengakibatkan kehilangan kuasa. Walaubagaimanapun Kali ini undang-undang baharu berjaya mengekang mana-mana individu bertindak bersendirian tanpa restu gerombolan.
Kumbang akan beralih dari satu bunga ke bunga lain apabila madunya telah habis bagi meneruskan kelangsungan kehidupan. Tiada dipeduli nasib bunga kerana masa akan menentukan penggantian bunga layu Dan kudupnya yang akan terus berkembang. Sang Kumbang akan terus terbang mencari bunga baharu yang boleh diharapkan memberi madu yang diperlukan.
Begitu juga mereka yang menjadi Mambang sentiasa mengintai peluang untuk bersama-sama melukut di tepi gantang dalam menjadi pemegang kuasa. Mambang akan sentiasa merancang dalam plot menumbangkan kekuasaan seseorang dalam apa cara sekalipun. Ramai pihak telah merasa bimbang kerana permainan ini telah banyak merugikan bunga-bungaan yang sentiasa mengharapkan Kumbang menjadi ejen pendebungaan yang boleh menghasilkan buah-buahan.
Percaturan antara Kumbang dan Mambang akan sentiasa membuatkan pemilik kekuasaan menjadi bimbang dengan sentiasa menimbang segala kehendak ahli gerombolan agar tidak hilang kesetiaan aku janji dalam kesepaduan. Undang-undang dan peraturan tetap akan menjadi tulisan yang boleh dilentur oleh sebarang percaturan atas nama penjajaran sokongan.
Sosok yang tidak nampak menjadi bayangan adalah kehebatan golongan Mambang mempergunakan golongan Kumbang yang sentiasa bising berterbangan merayap Dari satu bunga ke satu bunga atas nama pendebungaan. Lumrah permainan dalam pencaturan mempunyai strategi licik menggunakan helah dalam memperdaya dan memperguna siapa sahaja tanpa diperasan.
Selagi bunga terus berkembang mewarnai taman permainan dengan kesegaran madu yang menjadi rebutan sentiasa akan membuatkan golongan Kumbang dan Mambang sentiasa bimbang. Natijahnya ialah sama ada kawasan pekebunan boleh mendatangkan hasil memberikan kesan yang diharapkan atau membantutkan proses pengembangan warna-warni kawasan pekebunan.
Comments
Post a Comment