POLITIK PEMBAHARUAN (ISLAH) REFORMASI MULA BERBUAH

 Setelah merayakan demokrasi pada November tahun lepas, negara ini sekali lagi tercipta sejarah dimana tiada pihak yang boleh menubuhkan kerajaan. Maka terjadilah peristiwa tergantungnya parlimen melepasi tempoh hampir dua minggu. Inilah masanya sebuah negara demokrasi dengan raja berpelembagaan diuji dalam situasi yang boleh menjadi pertembungan emosi dikalangan rakyat terutamanya penyokong parti-parti yang bertanding.

Apabila tiada satu parti yang boleh membentuk kerajaan buat kali pertama dalam sejarah negara tanah airku yang tercinta ini maka kebijaksanaan ulil amri amat didambakan dalam mencaturkan bagi membentuk sebuah kerajaan. Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agung melalui mandat oleh Majlis Raja-raja telah membuahkan satu saranan yang boleh dikatakan idea baharu iaitu mendamaikan beberapa buah parti yang sebelum ini amat ketat permusuhan dikalangan mereka.

Disinilah fungsi Raja Berpelembagaan terserlah dengan menjadi 'Dipertua' yang memberi petua bagi mengelakkan situasi menjadi tidak tenteram dan boleh mengancam kestabilan negara. Menyatupadukan pelbagai parti dengan mewujudkan perpaduan bagi menubuhkan sebuah kerajaan perpaduan walaupun ada beberapa parti tidak ikut serta namun sebahagian besarnya menjunjung titah kebawah duli dalam menyelesaikan kemelut ini.

Setelah diperkenankan akan cadangan-cadangan hasil persefahaman itu maka terwujudlah buat pertama kali dalam sejarah sebuah kerajaan perpaduan yang pertama di bumi bertuah ini. Seusai majlis mengangkat sumpah seorang perdana menteri baharu maka dengan rasmilah sebuah kerajaan baharu dengan gagasan baharu mentadbir negara dalam tempoh sepenggal atau dalam masa lima tahun jika tiada keretakan sefahaman seperti yang berlaku pada penggal sebelumnya.

Maka inilah kali kedua dimana seseorang yang telah dilantik menjadi timbalan perdana menteri menjawat jawatan tertinggi eksekutif negara. Walaubagaimanapun susuk tubuh Yang Amat Berhormat ini telah memegang gelaran bekas TPM melebihi dua dekad lamanya. Beliau telah meniti dan mendaki dan pernah terjunam dan dijunam dalam kancah persaingan politik negara dengan penuh dramatik sepanjang langkau masanya.

Sosok tubuh  yang bernama Anwar Ibrahim ini telah menghabiskan separuh usianya dalam menghadapi ranjau penuh liku dan onak berombak bagi merealisasikan impian dan harapannya. Benarlah bagai dikata kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Bermula dengan era reformasi dihujung abad ke 20 dan awal milenium beliau telah meyatupadukan pembangkang sehingga membentuk beberapa pakatan perpaduan.

Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat sehingga ke Pakatan Harapan beliau gagaskan dalam mendapatkan kuasa dengan secara perlahan menumbangkan kerajaan sedia ada yang telah berkuasa melebihi separuh abad lamanya. Dengan kebijaksanaan Yang Maha Mulia Raja-raja dan persefahaman para politikus dalam mengenepikan perbezaan berjaya mewujudkan perpaduan dan akhirnya beliau mendapat mandat dalam mengetuai sebuah kerajaan yang mentadbir di Putrajaya.

Setelah berlalunya tahun 2022 dan bermulanya tahun 2023 yang dikatakan lebih mencabar bagi mendepani cabaran ekonomi dunia maka satu proses mengubah dan merubah sistem lama kepada satu sistem baharu yang didambakan oleh semua. Kerajaan Perpaduan ini perlu kukuh dan terus stabil bagi mengemudi sebuah negara yang hampir tersungkur akibat dari ketempangan proses demokrasi serta huru-hara akibat ancaman sebuah pendemik yang banyak meranapkan ekonomi sesebuah negara.

Bergeraklah sebuah proses reformasi atau pembaharuan (islah) dengan fokus membawa kebangkitan semula sebuah negara yang pernah menjadi harimau asia tenggara dalam satu gagasan dinamakan Malaysia Madani. Istilah ini pernah dimulakan oleh beliau semasa menjawat jawatan TPM pada dekad terakhir abad ke 20 yang lalu. Ianya bukanlah mudah kerana walaupun ia tidaklah sebegitu hebat seperti proses revolusi namun ianya amat berat untuk diimplimentasi kerana sukar dalam membiasakan pembaharuan dalam zon keselesaan. Ia perlu dipasak kuat dalam jentera kerajaan serta diikat dengan kemudi para teknokrat dan memerlukan dorongan jitu sektor korporat.

Zaman yang penuh mencabar atas kepesatan teknologi yang merentasi sempadan negara dan perluasan data merentasi segala minda yang membungkam manusia. Segalanya dihujung jari jika kesilapan atau kekakuan dalam meralisasikan matlamat kerangka Madani ini tidak diikuti maka ianya hanyalah sebuah slogan politik menjadi propaganda semata-mata. Namun dengan iltizam yang benar jujur serta ikhlas oleh semua peringkat dari pelaksana dan penguasa, pemerintah dan rakyat jelata maka ianya dapat membuahkan hasil atas usaha daya dan upaya menjadikan Malaysia dikagumi semula.

Comments

Popular posts from this blog

Bersahsiah dan bersiasah

Publisitikan Wibawa Kerajaan Madani

Bimbang Kerajaan Tumbang, Angkara Kumbang Atau Mambang