RAYA DEMOKRASI DATANG LAGI
Tanggal 10 Oktober 2022, penggal pemerintahan berparlimen di Malaysia ke-14 telah dibubarkan oleh Perdana Menteri ke-9 dengan beberapa alasan yang boleh dianggap munasabah. Maka bermulalah gendang pesta demokrasi yang lebih dikenali sebagai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Penggal yang telah berusia empat tahun lebih telahpun berlalu dengan melakar beberapa sejarah yang boleh menjadi satu subjek akademik untuk diteladani. Pada penggal inilah sebuah parti yang memerintah selama lebih enam dekad tumbang ditangan majoriti rakyat.
Pelbagai rekod yang menjadi takdir dan cerita dari berita besar dan menggemparkan hasil dari sistem demokrasi sebuah negara komanwel. Perdana Menteri keempat telah dilantik menjadi Perdana Menteri ke-7 oleh mandat pihak yang pernah menjadi musuh dan pembangkang di era pemerintahannya terdahulu.
Penggal ini juga menjadi berita sensasi apabila seorang raja diturunkan takhta kerajaan oleh majlis raja-raja. Sejrah melakar peristiwa yang dramatik dari demokrasi golongan raja sehingga demokrasi golongan rakyat jelata. Bagaimana buat pertama kalinya pihak parti pembangkang dapat membentuk kerajaan dengan menafikan parti yang telah memerintah sekian lama.
Peristiwa sensasi bersilih ganti sehinggalah dalam masa 22 bulan kerajaan yang mendapat mandat dijatuhkan oleh ketuanya sebagai PM ke-7 itu meletak jawatan. Ketegangan demi ketegangan terjadi sehingga memerlukan campurtangan majlis raja-raja bagi mententeramkan keadaan. Satu gerakan pembelotan pihak dalam kerajaan telah menjatuhkan kerajaan semasa bagi membentuk satu kerajaan baharu.
Penggal inilah mencipta sejarah dengan terlantiknya tiga orang Perdana Menteri yang mempunyai tempoh masa singkat sehingga bubarnya parlimen dalam tempoh 15 hari yang lalu. Demokrasi bergoncang dan dilanda malapetaka seiring dengan melandanya wabak Covid-19 yang menggemparkan seluruh dunia.
Politik tidak pernah aman selagi manusia mempunyai jurang perbezaan ideologi dan percaturan kuasa bersilih ganti oleh pelbagai alasan sama ada dirancang atau dicatur oleh para konspirator peringkat tertinggi. Rakyat hanya menanti apa yang terjadi namun bagi mereka yang bergelar YB mereka saling berinteraksi denga pelbagai tujuan dan alasan tersendiri oleh kelompok politikus.
Kini tarikh berkuasanya rakyat untuk mengundi disebutkan oleh SPR pada 19 November 2022 bagi menentukan sekali lagi pihak mana yang berjaya memegang tampuk pemerintahan secara demokrasi. Kini bufet demokrasi semakin bertambah dan bercambah dengan rakyat dihidangkan dengan empat dulang menu utama. Hidangan dari kelompok Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sebagai kelompok ‘senior’ dengan kelompok Perikatan Nasional (PN) serta Gerakan Tanah Air (GTA) sebagai gabungan terbaharu walaupun dianggotai oleh parti-parti yang lama dan telah bertanding pada PRU dahulu.
Kini rakyat yang berusia 18 tahun telah layak menyertai pesta demokrasi ini yang rata-ratanya masih mentah untuk memahami pergolakan politik yang telah berentetan sejak berdekad dahulu. Selamat memilih dan yang pastinya pilihanraya kali ini menjadi meja perjudian kerana tiada pihak yang boleh mendabik dada walauoun ada beberapa parti sangat optimis untuk mendapat majoriti. Hanya tuhan yang tahu dan berkuasa kerana takdir telahpun tertulis dan manusia hanyalah pelakon yang melakonkan watak dalam babak yang telah diaturkan.
Comments
Post a Comment