KHIANAT MENGKHIANATI, LAKNAT MELAKNATI SEMUA BERPUASHATI
Sepanjang sedekad ini drama politik semakin menarik dan tertarik untuk kita mencarik-carik tembelang dan temberang manusia yang menjadikan politik sebagai profesion mereka dan jika bernasib baik mereka akan mendapat gaji dan pencen.
Sebenarnya rakyat negara ini terlalu baik dengan hanya menonton dan membiarkan sahaja babak demi babak berlaku atau mempunyai tauhid (kepercayaan) dimana Tuhan akan mengadilinya.
Sedar atau tidak sesiapa yang berusaha untuk berfikir dan membaca setiap rentetan dan kronologi yang berlaku adalah hasil gerak-geri perilaku para politikus yang menjerumuskan segala babak itu terjadi dengan langkah 'pencak silat' politik mereka.
Setiap watak cuba menyelami atau sedaya upaya memberikan gaya lakonan yang amat sama ada protagonis atau antagonis dalam bertindak balas terhadap semua isu yang dikocak oleh sang penglipura atau penular cerita bergaji atau tak berbayar namun atas keseronokan mereka lupa akan amaran Tuhan.
Sesuai dengan sikap sesetengah masyarakat yang saban hari menanti atau menunggu cerita baharu untuk dijadikan bahan sensasi sebagai hiburan cerita dan seloka sesama mereka kerana perlu menghabiskan masa yang terluang melayani aktiviti tanpa produktiviti.
Dimana logika apabila sesama manusia dalam satu negara bercakaran atas perbezaan ideologi sehingga kerugian beribu juta dilupa oleh semua kerana sibuk mentertawa, memarahi atau cuba menjadi juara dalam pertelingkahan mereka.
Dahulu mereka adalah teman rapat, rakan dan sahabat namun boleh bertukar atas alasan berebutkan mandat demi menunjukkan kepada semua merekalah pilihan rakyat kerana keputusan pengundian yang lalu agak bercelaru menyebabkan mereka saling berseteru.
Janji hanya tinggal janji kerana sikap terpuji telah dijauhi menyebabkan segerombolan manusia saling khianat mengkhianati demi merebut laba dengan jawatan menanti walaupun saling laknat melaknati kerana perasaan tidak puas hati walaupun dahulunya sesama separti.
Dalam berpakat mereka saling menyakat serta saling menyekat akan langkah sahabat begitu juga dengan bermuafakat mereka saling menjerat kerana masing-masing memasang akal penuh muslihat tetapi dengan lakonan yang hebat mereka tidak dipandang sebagai seorang penjahat malah masih disanjung oleh rakyat.
Jika boleh diibarat sebuah kapal yang baru berlayar dalam gelombang besar di laut lepas awak-awaknya mula bertelingkah menukar nakhoda kemudian bermulalah ceritera panjang sesama mereka menikam belakang menukar nakhoda cuma bernasib baik kerana armada tidak rosak pecah belah ditengah samudera.
Semuanya masih boleh berpuas hati dengan apa yang terjadi dan nakhoda baharu dengan pantas berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kepelbagaian 1001 ideologi dan kisah tidak bepuas hati kerana persefahaman dapat diraih dengan sikap berhati-hati kerana kapal yang akan berlabuh tidak lama lagi akan selamat untuk mencari nakhoda baharu yang akan ditukar ganti.
Comments
Post a Comment