POLITIKUS RAKUS MENGUKUS, MEREBUS DAN KONSENSUS
Wabak Covid19 telah menjadi pandemik serta polemik yang berpanjangan meliputi kebanyakan negara di dunia di zaman manusia dikatakan semakin moden dengan teknologi komputer serta komunikasi tanpa sempadan.
Seluruh pelusuk dunia terus sibuk dalam menangani wabak selsema dari sejenis virus yang masih diperdebatkan asal usulnya serta pihak yang menyebarkannya sama ada secara sengaja atau tidak sengaja nyang bermula di Wuhan, China.
Sejak ianya melanda negara ini pada penghujung tahun 2019, mula merebak secara drastik pada suku pertama tahun 2020 memberi kesan yang amat membimbangkan kerana beberapa tindakan yang dilakukan pihak kerajaan menyekat aktiviti sosial dan ekonomi rakyat.
Setiap kerajaan akan bertanggungjawab terhadap kemaslahatan rakyat dan akan berusaha untuk mengekang dengan apa cara sekalipun dalam berperang dengan wabak selsema yang menggila ini. Sesiapapun yang menjadi kerajaan akan bertanggungjawab bagi memastikan segenap lapisan masyarakat selamat dan seterusnya negara agar tidak menerima akibat buruk yang boleh meruntuhkan ekonomi dan sosial.
Suasana di negara ini agak malang disebabkan pertelingkahan para politikus rentetan daripada polemik yang berpanjangan daripada kesan keputusan pihanraya pada tahun 2018 dimana rakyat Malaysia membuat keputusan menukar kerajaan yang selama 60 tahun memerintah. Apabila satu kerajaan baharu naik maka rintangan dan cemuhan hebat pasti akan menjadi 'permaidani merah' buat mereka yang akan menjalankan mandat baharu tersebut.
Perjalanan selama 22 bulan pemerintahan kerajaan baharu tersebut terus mendapat kecaman dengan pelbagai isu menjadi polemik seperti tiada kesudahan. Peranan politikus sedikit sebanyak menyumbang kepada kerakusan semua pihak menyerang dan berperang dalam media sosial atau di diskusi awam menganggu gugat pemerintahan kerajaan baharu tersebut.
Mereka akan mengukus segala isu sama ada ianya hangat, penting atau tidak asalkan ianya menjadi polemik berterusan kerana yang kalah masih tidak berpuashati dan yang menang masih lagi tidak mengerti. Satu masalah besar ialah bermulanya proses 'jual-beli' kepada mereka yang mempunyai kerusi sama ada di peringkat parlimen ataupun negeri.
Proses merebus fikiran dan emosi rakyat terus menerus bermula kerana para politikus rakus yang mahu berkuasa akibat dahulunya mereka tidak pernah merasai kehilangan kuasa. Kemuncaknya ialah membawa kepada pertukaran kerajaan baharu disebabkan penjajaran sokongan semula (ada yang menganggap pengkhianatan) akibat rasa tidak puashati dikalangan ahli parlimen kerajaan semasa tersebut menyebakan ianya tumbang setelah memerintah selama 22 bulan.
Setelah tamat proses merebus dan mengukus kerajaan baharu mula memerintah namun proses 'tawar-menawar' masih berjalan menyebabkan proses ini merebak ke beberapa buah negeri. Mereka terus rakus untuk menukar lagi sehingga perkara paling teruk mereka buat sehingga menjadi ingatan cemuhan oleh rakyat iaitu dengan mengadakan Pilihanraya Kecil Negeri Sabah, bermulalah rentetan bencana sehingga kini seperti menempah bala dan malapetaka kerana rakusnya para politikus Virus Covid19 masih belum dapat dihapus.
Proses konsesus dikalangan para politikus juga masih menjadi persoalan walaupun telah dititah oleh Yang Dipertuan Ketua Negara juga diputuskan oleh mesyuarat paara Raja-Raja Melayu ianya masih lagi buntu. Kerajaan semasa sudah memberi cadangan tarikh untuk mengadakan majlis konsensus (sidang parlimen) antara ahli parlimen namun terus menjadi polemik dan perdebatan panjang termasuk para pengamal undang-undang.
Peristiwa mengukus, merebus dalam mengembalikan proses konsensus ini terus menerus menjadi bahan cerita dan diskusi umum kerana ia adalah sejarah kerana pertama kali negara ini menghadapi situasi pandemik dalam kecelaruan peperangan demokrasi dikalangan para politus yang majoritinya rakus berkuasa. Perlembagaan negara juga menjadi kali pertama untuk ditafsirkan berdasarkan situasi semasa yang belum pernah terjadi dan peguam negara juga terpalit dan terkesan menerima cemuhan kerana masing-masing mempunyai tafsiran sendiri.
Comments
Post a Comment