TAHUN 2020 POLITIKUS RAKUS MENONGKAH ARUS

Tahun ini menyaksikan banyak peristiwa terjadi dari polemik politik yang melanda negara bergelut dengan berbagai propaganda walaupun satu dunia dilanda wabak corona yang menyaksikan norma baharu dalam kehidupan seharian. Kisah politik yang semakin mendebarkan dan menggoncang pertikaman lidah dikalangan para penyokong selain sesama pemimpin parti-parti politik. Dalam dunia politik tiada istilah hubungan sejati kerana sesiapa jua sebagai ahli politik boleh mengubah fikiran pada bila-bila masa walaupun sebelumnya terikat dengan perjanjian setia sesama mereka.

Peristiwa kehilangan kuasa oleh sebuah parti pemerintah yang telah memerintah sekian lama ditumbangkan oleh gabungan pembangkang yang berjaya mendapat kemenangan didokong oleh seorang pemimpin yang paling lama menjadi Perdana Menteri Malaysia. Sejak 2018, polemik politik di Malaysia sentiasa berantakan dengan isu-isu yang menjadi mainan dan persendaan terutamanya yang berlegar di media sosial. Pelbagai cerita dan berita yang melaporkan pelbagai peristiwa yang menunjukkan dunia politik semasa tidak pernah sunyi. Para politikus berlainan parti akan bercakaran dalam pertengkaran di media sosial atau media arus perdana.

Perancangan strategik dalam politik telah menjadi apologetika bagi mempertahankan seseorang atau kekhilafan yang dilakuan sama ada secara sengaja atau tidak. Semua politikus sama ada dari barisan atau pakatan sentiasa berbalas komentar dalam menyerang atau mempertahankan sesuatu isu terutamanya yang menjadi viral di media sosial. Paling mencemaskan apabila dalam satu gabungan parti pemerintah boleh bercakaran sesama sendiri akibat kelemahan dan keterujaan sesetengah individu menjadi populis dikalangan masyarakat. Sifat ingin nampak hebat di mata masyarakat menjadikan sesetengah peristiwa atau lontaran suara sang politikus menjadi bahan ketawa serta dimomokkan mengundang komentar negatif dari pengguna media sosial. 'Bola tanggung' selalu dilontarkan oleh mereka yang mudah menepis atau mebalas usikan dari parti lawan dan mereka yang lemah akan mendapat 'lebam' apabila mudah dijatuhkan oleh politikus lain di media sosial.

Dunia maya tanpa sempadan yang terbentang luas membolehkan sesiapa sahaja masuk gelanggang perbalahan dalam apa jua isu yang menjadi tular. Politikus yang gelojoh dan tinggi keterujaannya tidak dapat mengawal jari-jemari dalam memberi reaksi yang kadangkalanya menjerat diri. Begitu pula para penyokong yang menjadi laskar siber sama ada bergaji atau tidak berbalah dan bersilat dalam medan siber tanpa sempadan yang masing-masing berhujah dalam berbagai isu. Setiap isu dan peristiwa yang berlaku akan dikaitkan dengan kelemahan pimpinan tertentu menyebabkan ia menjadi hangat dalam pentas demokrasi Malaysia. Walaubagaimanapun kebanyakan isu tersebut sebenarnya bukanlah sesuatu yang besar namun apabila ianya berada di arena pertarungan 'jari-jemari' oleh para pejuang papan kekunci (keyboard warrior atau cybertrooper) maka ianya membawa kepada kecelaruan emosi yang tidak dapat dibendung dan dikawal oleh mangsa. Oleh sebab itu, polemik politik di Malaysia dalam beberapa isu menyebabkan satu pakatan baharu terbentuk dengan gerakan menumbangkan sebuah kerajaan yang baru 22 bulan memerintah.

Kerakusan beberapa pihak untuk kembali berkuasa ditambah dengan kecelaruan beberapa pihak untuk meraih kuasa utama (perdana menteri) serta perancangan plot mengambil alih kuasa dengan lapisan kuasa atas kuasa sehingga melibatkan istana. Perlembagaan negara yang telah digubal oleh pemimpin terdahulu mengikat kerakusan ini dengan meletakkan permisahan kuasa yang membolehkan huru-hara dan porak poranda dapat dielakkan. Arus kuasa yang deras boleh melemaskan sesiapa jua sama ada kepada ahli politik lama mahupun ahli politik yang masih muda menyebabkan sebuah kerajaan baharu tumbang. Politik masa kini membuktikan musuh boleh menjadi kawan begitu juga sebaliknya dan demi tujuan dan impian yang sama mandat yang diberikan oleh rakyat pada PRU 2018 telah pecah berderai. Sekarang negara ini dipimpin oleh kerajaan hasil perikatan dalam permuafakatan blok ahli-ahli parlimen yang melangkaui parti dikenali sebagai Perikatan Nasional.

Kebijaksanaan para ahli politik teruji dengan pelaksanaan dan perancangan yang mungkin telah terjadi tidak seperti dirancang namun pihak yang kurang kepincangannya telah memenanginya dan mendapat memegang tampuk kuasa. Mereka yang banyak merancang dan pihak yang sekadar berteori bertelingkah dan saling menuding jari namun hasilnya menjadi sebegitu dan sebegini. Gelombang kuasa telah menghanyutkan mereka yang berpaut didahan yang rapuh dan bagi mereka yang pandai berpaut di tebing yang kuat serta kukuh memenangi perebutan ini. Walaubagaimanapun sejarah telah tercatat bagaimana kuasa rakyat tidak semestinya menjadi mandat yang kuat kerana akhirnya wakil rakyat yang dipilih boleh pula memilih dan menyokong blok perikatan atau pakatan mana yang mereka inginkan dalam membentuk kerajaan.

Comments

Popular posts from this blog

Bersahsiah dan bersiasah

Publisitikan Wibawa Kerajaan Madani

Bimbang Kerajaan Tumbang, Angkara Kumbang Atau Mambang