KERAJAAN BAHARU SETAHUN JAGUNG...SEBUAH HARAPAN

Pada 10 Mei yang lalu maka genaplah usia setahun bagi sebuah kerajaan baharu yang berjaya mengambil alih kuasa daripada sebuah kerajaan yang telah memerintah begitu lama. Walaupun begitu kebanyakan ahli politik yang menganggotai parti-parti baharu ini yang bergabung adalah dari parti-parti lama yang telah menjadi pembangkang masa kini.

Setelah tiga ratus enam puluh lima (365) hari berlalu maka kita telah dapati pelbagai isu dan peristiwa telah berlaku dan ditakdirkan berlaku oleh Tuhan. Semua perkara tersebut kebanyakan telah dirancang oleh manusia namun kesemuanya berakhir dengan ketentuan Tuhan yang maha perkasa dan bijaksana. Kerajaan harapan rakyat yang baharu ini berjaya terus belayar menuju ke satu destinasi dengan nakhoda utama yang amat dikenali seorang bekas Perdana Menteri yang pernah memerintah negara ini cukup lama sekali.

Apabila menjadi kerajaan ia tidak akan sunyi dari segala kecaman dan cemuhan kerana setiap manusia tidak akan punya satu kepuasan kecuali mereka yang benar-benar faham akan segala sesuatu itu adalah takdir Tuhan. Kerajaan baharu ini dikenali sebagai Kerajaan PH (Pakatan Harapan) yang terdiri daripada lima gabungan parti-parti yang membentuk majoriti mudah bagi mentadbir sebuah negara. Ianya bukanlah sebuah gabungan yang solid (kukuh) kerana setiap parti-parti tersebut dibelakangi dengan ideologi yang berbeza dan dipengaruhi oleh penyokong yang berlatar belakangkan dari berbilang bangsa serta agama.

Lebih separuh daripada para menteri yang dilantik oleh Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri adalah muka baharu yang berpuluh tahun menjadi pembangkang serta tidak pernah memahami selok-belok pentadbiran kerajaan. Hanya mereka yang pernah memegang jawatang dalam kerajaan negeri sahaja yang boleh dikira berpengalaman disebabkan cara pentadbiran yang hampir sama antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan. Menteri yang amat mentah (fresh) dan terlau muda (junior) akan mengalami masalah kerana kuasa yang ada pada mereka ini agak besar dan jika tidak dikawal akan memberi kesan kepada negara atau kerajaannya. Mereka yang baharu sebagai menteri akan dibantu oleh pembantu-pembantu yang baharu juga kecuali mendapat nasihat daripada pegawai kanan kerajaan yang telah mempunyai pengalaman mentadbir.

Setahun yang berlalu ini jika diberi markah pencapaiannya adalah sebanyak lima persepuluh (5/10) sahaja yang boleh dibanggakan. Jika mereka ini para pelajar kolej atau institusi pengajian boleh dikira lulus namun masih jauh untuk cemerlang namun masih mempunyai masa untuk meneruskan usaha untuk ke semester seterusnya. Kebanyakan menteri masih kaku untuk bertindak dengan idealisma sendiri dan banyak membiarkan para pembantu yang membayangi setiap tindakan dan arahan yang ingin dilakukan namun kadangkala ianya terlebih bayang (over-shadow) yang boleh mencemarkan imej menterinya. Kehebatan setiap menteri dan anggota kabinetnya juga bergantung kepada paras kesiagaan pekerja-pekerja kementerian yang ditadbir kelola olehnya kerana mereka ini ibarat robot yang sentiasa bersedia menerima arahan dan akan mudah lalai (standby-mod) jika tidak dipergunakan cukup kadarnya.

Walaupun pelbagai tohmahan dan kecaman yang diraih serta penurunan populariti terhadap Kerajaan PH ia adalah lumrah untuk sebuah kerajaan. Kerajaan yang baharu mesti berada pada tahap yang lemah tetapi mereka yang cekal akan dapat membezakan kerajaan sebagai pentadbir, penguasa atau pengelola rakyat yang terdiri dari pelbagai latarbelakangnya. Apabila menjadi sebuah kerajaan ianya bukan mudah kerana hanya lebih separuh rakyat yang menyokong dan memilihnya dan selebihnya adalah rakyat yang tidak menyokong dan memilihnya. Namun begitu apabila mendapat kuasa dan dipilih dalam pertembungan demokrasi maka sesiapa yang menjadi kerajaan akan melayani semua mereka dengan saksama sebagai rakyat dalam satu negara.

Comments

Popular posts from this blog

Bersahsiah dan bersiasah

Publisitikan Wibawa Kerajaan Madani

Bimbang Kerajaan Tumbang, Angkara Kumbang Atau Mambang