Taksubnya pada bendera dan warnanya
Tahun ini semua orang mula menduga dan berbicara tentang akan tiba satu musim setelah berlalunya empat tahun mereka yang memenangi undi majoriti menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (kecuali Sarawak) atau Ahli Dewan Rakyat. Maka semakin rancaklah semua orang yang suka bersembang politik memberi spekulasi serta berdiskusi atau yang paling teruk saling caci-maki demi mempertahankan ideologi dan parti yang disukai.
Bagi orang muda kebanyakan mereka tidak berapa peduli atau cara mereka agak berbeza sekali dengan golongan tua atau orang lama dalam meraikan demokrasi dan cerita undi mengundi ini. Bagi mereka siapa yang memerintah haruslah menawarkan idea atau hujah yang bernas bagaimana mahu mentadbir negara ini. Kebanyakan mereka tidak terllu taksub ke atas mana-mana parti namun lebih mementingkan keupayaan atau kaliber seseorang calon itu sendiri.
Pendekatan demokrasi orang lama lebih kepada agenda sesebuah parti dan imejnya penting bagi disokong dan diberi undi, soal calon yang akan bertanding itu jatuh kepada nombor dua. Mereka lebih tertakluk kepada persatuan dan kesatuan parti yang disukai kerana mereka akan berusaha atau bersolidariti bagi memenangkannya berbanding orang muda yang masih menunggu siapakah yang akan diundi.
Jika kita mahukan yang terbaik pastilah mereka yang tercalon atau mecalonkan diri sendiri membuat tawaran yang baik dengan idea-idea baru untuk menambat hati pengundi. Semua orang politik harus berusaha keras kerana dizaman teknologi internet yang semakin mencabar ini maklumat itu terlalu pantas dan boleh masuk tanpa diduga. Semua khabar berita yang dicanang atau ditular tidak semestinya benar namun pasti ada yang percaya walaupun bukan semuanya.
Bagi mereka yang taksub kepada warna dan bendera parti dan mejadi ahli setia parti mereka tidaklah begitu terkesan kerana ketaatan itu telah kekal. Siapapun yang menjadi calon dan apapun khabar yang tersebar mereka akan cuba menafikan dan cuba sedaya upaya bersikap positif kerana maruah mereka bersama dengan parti tersebut. Golongan muda yang tidak taksub pula akan sering diumpan atau dipancing dengan beberapa isu agar mereka sentiasa bercelaru untuk membuat keputusan sehinggalah pada hari pilihanraya diadakan.
Comments
Post a Comment