Pentas Politikus Dikukus Oleh Mereka Yang Rakus

Setiap penggal dan tanggal akan ada peristiwa yang berbagai warna suka duka tentang permainan mereka yang punya bendera kepartian. Semua tayangan berbabak ini punyai pelakon dengan lakonan yang amat mengujakan. Ada antagonis dan protagonis yang menunjukkan bakat dengan memancing pelbagai perasaan bagi setiap hati penontonnya.

Bagi setiap orang biasa menjadi penonton bukan sebagai berlakon telahpun dihidangkan dengan bermacam ragam yang menggamit perasaan. Kebencian yang timbul mahupun kegelian hati yang menyebabkan kesengihan atas 'comedian politician' yang menghiburkan. Selalunya kekecewaan dan rasa geram sering dirasa jika kita seorang penonton yang setia.

Di negara ini, ada dua pihak kepartian yang sering menjadi hero dan watak utama setiap babak yang dibawakan. Mereka sentiasa ada cerita dan berita untuk disampaikan untuk ditelan oleh majoriti rakyat bawahan yang akhirnya membuat keputusan untuk memilih pihak(parti) mana. Ada yang hanya berpeluk tubuh dan tidak menghiraukan pengundian namun amat berminat dengan jalan cerita serta watak lakonan yang dipertontonkan.

Para barisan pelakon yang memegang watak kerajaan dipanggung bangsawan dan dibantu oleh sekumpulannya yang lain memegang watak berlawanan(pembangkang). Setiap skrip yang diikut atau diolah akan disembahkan dengan pelbagai penghayatan sama ada palsu atau benar ia tidak diambil peduli oleh para penonton yang hanya dahagakan hiburan. Persembahan yang panjang tanpa 'punchline' akan membuatkan para penonton rasa bosan dan jalan cerita tidak begitu mengujakan.

Cerita tentang ekonomi menjadi isi yang utama selain perselisihan antara agama, budaya serta sensitiviti kaum diketengahkan bagi meraih sokongan. Lakonan yang penuh berjiwa dan beremosi akan dikenang dan mudah meruntun jiwa para penonton yang betul-betul menunjukkan kepedulian. Persoalannya disini siapa gerangan sutradara atau pengarah yang menggerakkan seni lakonan tersebut? Siapakah gerangan sang penulis skrip atau pelakon-pelakon politik ini menjiwai sehingga ianya benar-benar spontan?

Kisah politik adalah lakonan yang berkesan bukan sahaja mendapat tepukan atau cemuhan namun pentas itu sendiri boleh berantakan dan kemudi negara juga mendapat habuan. Setiap pimpinan yang memegang tampuk kuasa dengan genggaman skrol kepartian masing-masing menunjukkan hayunan dan tarian yang bermakna. Inilah dunia politik yang tidak punya sempadan dan ia hanyalah tidak lebih dari persembahan oleh mereka yang rakus berpolitik dalam 'mendaulatkan' agenda kepartian atau keperibadian.

Olahan lakonan serta tindakbalas dialog yang spontan telahpun diajar atau diarah oleh mereka-mereka yang berkuasa memulakan dan memberhentikan setiap watak lakonan. Apa saja watak, babak dan lakonan akan menjadi bahan-bahan bagi mereka yang sentiasa punya umpan dan bersedia untuk memancing dan menahan dugaan dan cabaran. Apabila suatu cerita itu nampak seperti tidak berkesudahan, namun hakikatnya bermulanya awal belum tentu berakhir.

Comments

Popular posts from this blog

Bersahsiah dan bersiasah

Publisitikan Wibawa Kerajaan Madani

Bimbang Kerajaan Tumbang, Angkara Kumbang Atau Mambang