Musim mengundi datang lagi...
Selang lima tahun kita akan diberi peluang untuk memberi satu undi untuk memilih mana-mana kelompok manusia atau individu untuk menjadi pemerintah Malaysia. Dalam 365 hari x 5 tahun rakyat diberi kuasa untuk memilih siapakah yang akan memimpinya itupun berdasarkan jumlah majoriti atau kelebihan undi yang dimenangi calon atau parti pilihannya.
Persoalannya siapakah yang layak menjadi pimpinannya, tepuk dada tanyalah minda fikirkanlah sewajarnya untuk menjadi nakhoda sepenggal pemerintahannya. Negara kita sebenarnya telah keluar dari kategori negara sedang membangun kerana semuanya telah terbina dan direncana hasil kemakmuran dan pengaruh ekonomi dan teknologi dunia semasa. Untuk menjadi negara maju sebenarnya bukan sahaja mentaliti rakyat perlu sempurna malah keupayaan atau kemampuan negara yang tidak terlalu bergantung kepada kuasa luar dari segi ekonomi mahupun pemilikan serta pengetahuan dalam pelbagai bidang teknologi.
Nakhoda yang dipilih perlulah bersih dan berimej beramanah dengan tidak hanya mementingkan kelompok atau hanya orang yang terdekat semata-mata kerana pada era ini apa sahaja pimpinan lakukan ia jelas boleh dilihat oleh mata-mata ghaib teknologi maklumat. Pimpinan mestilah bukan yang hanya tahu hidup mengumpul kemewahan semata-mata namun ada idea bernas bagi memudah dan melapangkan hidup rakyat jelata. Ketua-ketua bukanlah yang suka diampu sana sini sehingga bersikap tidak peduli dengan hanya syok sendiri membuat apa sahaja yang dihajati bagi kekayaan dan kemewahan kelompok terdekatnya sendiri.
Gelaran Y.B. (Yang Berhormat) itu mestilah diterjemahkan kepada Yang Berkhidmat kerana rakyat bukan mahukan duit poket sebenarnya kerana mereka tahu ini adalah negara bukan bekerja dengan syarikat sesiapa yang mengharapkan balasan tunai semata-mata. Apa yang menjadi pengharapan bagi rakyat jelata adalah kemudahan untuk meneruskan kehidupan dengan idea untuk melapangkan kesempitan yang telah tersebar di setiap pelusuk dunia yang semakin menekan. APa perlunya menjadi negara maju jika kita semakin banyak hutang seperti orang kaya yang semakin hari semakin menimbun hutang. Majunya sesebuah negara kita tidak perlu menjadi Amerika Syarikat yang membina gunung hutang dengan menabik dada sebagai negara termaju di dunia. Bila rakyat jelata terjejas akan kehidupannya kerana mereka juga manusia yang secara langsung akan memberi kesan kepada manusia lain disekitarnya. Oleh sebab itu Islam atau beberapa ideologi lain menegaskan golongan kaya tidak harus dibiarkan terlalu kaya kerana ia secara automatiknya akan menindas sesiapa sahaja yang tidak berupaya mempunyai pendapatan dan harta seperti mereka yang kaya raya oleh sebab itu wujudlah zakat harta atau cukai tertentu untuk golongan kaya kerana sistem ini akan memberi keseimbangan dalam sosiologi sesebua negara.
Apabila jurang golongan kaya terlalu jauh akan menyebabkan sesebuah negara itu sistem kehidupannya menjadi rapuh kerana jurang perbezaan ini akan menjadi racun bagi kesinambungan kehidupan dari generasi ke suatu generasi. Apabila pemerintah hanya mementingkan hanya sesetengah lapisan kelas atasan makan golongan bawahan akan kesempitan serta golongan pertengahan akan merasakan ketidak selesaan. Apabila kekayaan negara hanya direbut dan dikaut dengan cara yang menyalahi sistem-sistem yang sepatutnya diamalkan menjadikan kelompok sesetengah elit yang berdampingan dengan pimpinan akan mengaut semua keuntungan. Mereka ini akan mencari dahan politik mana yang mereka akan bergayut demi nafsu sebagai manusia yang penuh sifat tamak, pembuli dan suka menjadi seperti raja yang boleh buat apa saja (lebih raja dari raja yang ada) sehingga pada suatu titik negara akan porak poranda kerana jurang perbezaan antara golongan kaya dengan golongan miskin terlalu banyak bezanya. Hanya yang boleh menerima adalah golongan pertengahan yang sentiasa berada diantara kedua-duanya disebabkan itulah mereka lebih nampak apa yang nyata yang akan membawa kepada pengaruh kepada semua siapakah yang layak sebenarnya untuk menjadi pemerintah negara.
Comments
Post a Comment