Kebersihan Amalan Kita
Kebanyakan kita inginkan kebersihan walaupun masih ada segelintir yang selesa hidup dalam kekotoran. Tidak kira kebersihan dalam persekitaran ataupun di dalam pemikiran. Apabila ada nilai pencemaran yang menganggu kabut persekitaran dan pemikiran maka ia perlu dibersihkan dengan seberapa usaha dan cara pembersihannya.
Ada cara pembersihannya menggunakan sepucuk surat komentar atau secoret kata siaran akhbar. Majoritinya hanya mengeluh dan bercerita tentang masalah yang menimpa mahupun menjadi bualan rumahtangga. Namun ada pihak yang sukarela berkorban dengan berduyun-duyun bergotong-royong membersihkan kekotoran sekeliling yang melata menyakitkan pandangan mata. Ramai juga yang masih rasa selesa dengan apa yang ada di depan mata dengan harapan ia akan di selesaikan oleh pihak berkuasa. Bila tuntutan tidak dilayan, sapa tidak bersaut dan senyum tidak bersambut menyebabkan harapan selama ini perlu diteruskan dengan acara pembersihan yang mungkin mendapat halangan.
Setiap cerita ada selokanya, setiap berita ada nadanya telah berkumandang di pelusuk negara tentang ada kumpulan yang mahu bergotong-royong membersihkan pemikiran di ibukota. Pencemaran ini berpunca dari 'kepala batu' yang tersekat di laluan-laluan air hujan yang membasahi di segenap lurah-lurah 'bereba' yang menyekat 'sampah-sampah' pemikiran masyarakatnya. Gempa gempita gelombang berita di 'peti kaca berwarna' menyatakan tidak perlu gotong-royong, nanti ramai yang tak boleh berniaga. Hairan si penjaja kerana mungkin pada hari itu dia boleh peroleh beribu-ribu 'dirham'. Tuan kereta sewa pun takut pulangannya tidak seberapa akibat tidak boleh guna jalan raya yang mahu dibersihkan mereka. Pemilik bas sewa sudah senyum meleret sampai ke telinga dengan laba sewa pasukan gotong-royong ni. Selalunya mereka tidak membuat barisan dalam kerja-kerja pembersihan pemikiran ini kerana susah untuk buat barisan kerana lagi mudah bersaf-saf.
Bila acara pembersihan ini mendapat liputan 'percuma' media arus perdana, kampung yang sejauh Ba'kelalan pun telah tahu cerita yang baharu ini. Bayangkan sahajalah seluruh negara, ramai tertarik nak ikut serta macamana ibukota kuala ini mahu menampung sukarelawan ini. Mereka datang dengan duit poket sendiri tanpa ada yang memaksa hanya dengan canangan berita arus perdana. Publisiti percuma buat sukarela bertambah senang usahanya mungkin anugerah dari yang Maha Esa. Hari acara semakin tiba namun ada saja berita melarangnya dan ada kumpulan mahu berlawan dengan kumpulan pembersihan ini. Sayang sekali mereka berani terima risikonya walaupun di 'pegang seketika'.
Masa kian hampir namun detik waktu yang mampu menentukan acara pembersihan ini berjalan lancar atau tidak. Jika ramai yang datang sambil memohon pelindungan dengan niat yang ikhlas maka tuhan akan membalasnya. Kekotoran pemikiran bukan sahaja akan mencacatkan permandangan malah menukar dimensi persekitaran menjadi lebih malap yang tak akan gelap namun akan merah jika ia terlalu cerah. Ia tidak putih jika tidak dibersih dan akan terus hitam melekat pemikiran dan pandangan sehingga tersesat ke lautan dalam. Tidak salah untuk kita untuk menjadi penonton sahaja kerana kita adalah kita dang tanggungjawab semuanya di bahu kita.
Comments
Post a Comment