Madani di Minda Masyarakat
Setiap pelantikan seorang Perdana Menteri Malaysia akan muncul sebuah slogan baharu bagi menunjukkan sebuah gagasan pimpinannya.
Semua pemimpin punya idea dan cita rasa sendiri dalam menentukan corak serta citra kepimpinannya malah gaya yang perlu disokong oleh segenap pasukannya.
Sesiapa yang telah celik politik pada awal 90 an akan mudah mengingati idea madani ini namun ianya tidak bertahan lama kerana pergolakan politik yang membantutkan publisitinya.
Selalunya segenap lapisan masyarakat sentiasa melayani dan menghormati apa jua idea serta gagasan seorang pemimpin selama ini sehingga kini sepuluh orang Perdana Menteri bersilih ganti.
Slogan Madani adalah satu wadah yang amat besar dan berat yang secara logiknya agak sukar direalisasikan kerana membersihkan sebuah kapal dari kotoran badan, lantai, pekakas serta awak-awaknya memerlukan mujahadah yang terlalu teguh.
Sekarang masyarakat melihat berdirinya seorang Perdana Menteri yang perlu menjaga hati pihak kanan dan kirinya, belakang dan depannya sebagai rakan sepasukan setelah dilantik oleh kuasa atasannya.
Sebuah bahtera besar yang telah berlayar melampaui separuh abad mempunyai budaya dan sistem sosio ekonomi yang menjadi pegangan masyarakat yang hidup didalamnya Dan agak sukar dilakukan sebarang pembaharuan atau sebuah reformasi dengan anjakan biasa atau cara lama.
Soalnya dimana bahagian yang perlu dimulakan dalam membuat perubahan dan produk Madani yang telah dikeluarkan sebelum ini telah sampai ke meja bualan setiap masyarakat serta dirasai untuk difahami serta dinikmati maksud dan tujuannya.
Setakat hari ini masyarakat masih menunggu kehebatan warna slogan ini setelah kedengaran lagu yang menjadi halwa pendengarannya namun tetap menanti apakah rasa yang sebenarnya.
Sanubari masyarakat masih merasakan ianya hanyalah slogan sama seperti gagasan sepertimana Perdana Menteri sebelumnya kerana hanya logo, bau dan lagu yang dapat dirasai panca indera tetapi masih belum cukup dirasai untuk dicerita bangga diminda dan lidah bersuara untuk ditular oleh jari-jemarinya.
Comments
Post a Comment